Sejak zaman dahulu lagi, wangian telah digunakan dalam upacara keagamaan, yang kemudian penggunaannya berkembang sebagai kosmetik serta produk harian. Wangian dikatakan dapat menggambarkan peribadi pemakai.


Tujuan utama wangian adalah untuk menghasilkan bau wangi kepada pemakai, barang kegunaan peribadi atau udara sekeliling selain menjadikan pakaian berbau harum. Secara psikologi, wangian dapat menambahkan rasa bersih apabila menggunakan produk kebersihan diri terutamanya selepas mandi.

Namun, kebanyakan masyarakat tidak menyedari penggunaannya yang berlebihan boleh mendatangkan bahaya kesihatan terutamanya bagi wanita mengandung. Setiap produk wangian mengandungi bahan kimia wangian sama ada asli atau sintetik dan pelarut yang bertindak sebagai media atau foundation yang peratus kandungan kimia adalah 1 peratus sehingga 30 peratus bergantung kepada jenis produk wangian.

Berdasarkan analisis kajian mendapati sebanyak 95% bahan kimia yang terkandung di dalam produk wangian adalah bahan kimia sintetik daripada jenis petroleum seperti terbitan, benzena, aldehid dan kimia toksik lain.

Produk yang memberi kesan langsung kepada sistem pernafasan adalah seperti penyegar udara, semburan wangian badan dan rambut, pengilat kuku dan pelarutnya serta lain-lain. Semburan, wap atau gas bahan kimia ini akan memasuki saluran pernafasan dan memberi kesan kepada bahagian hidung, tekak, paru-paru dan seterusnya ke bahagian anggota badan lain melalui sistem peredaran darah.

Jadual berikut menunjukkan contoh bahan kimia di dalam produk wangian seperti minyak wangi, penyegar udara, sabun pencuci pinggan mangkuk, pewarna dan pencuci kuku, penyembur rambut, penyembur badan, produk kosmetik, syampu, sabun, peluntur pakaian dan pelembut pakaian, detergen dan potpuri.