01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam,
banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan
karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah
IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.


02 - Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka
dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah
menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH
juga.


03 - Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan
taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat
kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.


04 - Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang
dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.


05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh
menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.


06 - Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan
untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar
takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat
ALLAH.


07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak
dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak
melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari
tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang
tidak mahu mengerti.


08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan
besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana
engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.


09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan.
Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi
utusan.


10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan
daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang
berbahaya.


11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir
majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan
mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan
hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.


12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya
makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan
kepada anjing sahaja.


13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang
dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis
belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan
kesengsaraan.


14 - Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan
musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari
mereka.


15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari
ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang
yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal
ia masih mahu menambahkannya.


16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih
dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia
masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai
kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.


17 - Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan
demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain
yang pernah memberikan barang yang berharga.


18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang
yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang
mengharapkan sesuatu darimu.


19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin
menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~
yang akan mendatangkan cela pada dirimu.


20 - Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu
disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia
sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya
dengan dunianya.


21 - Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang
busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri.
Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.


22 - Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang
menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau
bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.


23 - Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan
selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat
menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.


24 - Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah
kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya,
hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah
yang subur lalu disirami air hujan.


25 - Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah
yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke
keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang
membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta
meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah
tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua
muka, kelak akan membinasakan dirimu.