Mengikut pandangan pakar pemakanan ada beberapa jenis vitamin dan mineral yang boleh membantu meningkatkan mutu, bilangan dan kualiti sperma.
Salah satu komponen penting ialah zink. Zink penting untuk proses pembahagian sel dan penghasilan sperma yang sihat. Ia adalah salah satu mineral yang penting dalam fungsi seksual seseorang lelaki.

Ini kerana zink diperlukan dalam metabolism hormone testosterone; perkembangan buah zakar; penghasilan sperma dan terbabit dalam proses pergerakan dan menambah jumlah sperma.

Zink juga menjadi unsur penting dalam mengurangkan lebihan hormon estrogen dalam badan lelaki. Kajian menunjukkan apabila seseorang lelaki mengalami proses ejakulasi, beliau akan kehilangan 5mg zink dari badan.

Pengambilan alkohol juga akan mengurangkan paras zink dalam badan. Contoh makanan boleh meningkatkan pengambilan zink dengan mengambil makanan seperti daging, ayam, ikan, telur kekacang dan bijirin seperti oat.

Selain itu, digalakkan juga mengambil zink dalam bentuk supplement yang banyak dijual di pasaran. Selain dari zink, ada beberapa vitamin dan mineral yang boleh diambil untuk kesihatan sperma.

Antaranya ialah:
Amino asid
Vitamin A
Vitamin B6
Vitamin B12
Folate
Vitamin C
Vitamin E
Selenium
Coenzyme Q
Asid Lemak yang penting seperti Omega 3 DHA dan Omega 6

Selain itu, ada beberapa perkara yang perlu dielak bagi mendapatkan sperma sihat.

Antaranya ialah:
Elak dari terdedah kepada suhu tinggi. Ini kerana sperma akan berfungsi dengan baik pada suhu 32 darjah celcius. Oleh sebab itu, buah zakar terletak di dalam kerandut zakar untuk memastikan suhu buah zakar lebih rendah dari suhu badan. Elak memakai seluar dalam ketat atau athletic support. Kurangkan mandi di sauna atau mandi dengan air yang terlalu panas. Elak juga dari memandu atau duduk terlalu lama tanpa rehat.
Elak dari mengalami tekanan berterusan.(stress)
Elak dari mengambil alkohol. Ini kerana alkohol akan mengganggu sekresi hormone testosterone, mempercepatkan perubahan testosterone ke estrogen dan mengurangkan bilangan sperma serta libido.
Berhenti merokok. Ini kerana merokok meningkatkan bilangan free radicals di dalam badan yang akan merosakkan sel. Ia akan mengurangkan bilangan sperma dan pergerakannya serta meningkatkan jumlah sperma yang tidak normal bentuknya. Free radical bertanggungjawab ke atas 40 peratus pemusnahan sperma.
Kurangkan pengambilan kafein. Ini kerana kafien akan menjejaskan penghasilan sperma, mengakibatkan keabnormalan kromosome dan menjejaskan pergerakan sperma.

Selain dari mengamalkan pengambilan supplement, berjumpa dengan pakar urologi atau fertiliti jika anda mengalami masalah kesuburan. Ini kerana ada beberapa masalah yang menyebabkan kemandulan boleh dirawat melalui pembedahan.

Ini termasuk masalah seperti varicocele. Ujian air mani perlu dilakukan untuk mengetahui jumlah dan bentuk sperma. Saudara juga mungkin perlu menjalani ujian ultrasound pada buah zakar untuk mengetahui saiz buah zakar.

Proses ini juga untuk memastikan anda tidak ada masalah seperti varicocele. Biopsi pada buah zakar juga mungkin dilakukan untuk mengetahui status sebenar sperma di dalam buah zakar. Pembedahan kecil pada kerandut zakar perlu dilakukan untuk tujuan ini.